Saturday, February 21, 2009

RESIPI MENJAUHKAN TABIB

Seorang tabib dihantar oleh penguasa Mesir ke Medinah sebagai menunjukkan tanda persahabatan. Sepanjang dua tahun tabib itu berada di sana, tidak ada seorangpun yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tabib menjadi hairan dan bosan kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan apa-apa kepada penduduk Medinah.
Tabib itu berjumpa Nabi Muhammad saw untuk mendapatkan kepastian. Dia bertanya Nabi, "Adakah penduduk sini takut untuk berjumpa tabib?" Nabi menjawab "Tidak! Dengan musuh mereka tidak takut, apatah lagi dengan tabib." Tabib bertanya lagi, "Tapi mengapa sepanjang 2 tahun saya di sini, seorang pun tidak berubat dengan saya?" Nabi menjelaskan "Sebab penduduk Medinah tidak ada yang sakit." Tabib itu kurang mempercayai Nabi dan berkata, "Masakan tidak ada satu orang pun yang sakit." Melihat keraguan tabib itu, Nabi mempersilakan tabib itu menjelajah ke merata pelusuk Medinah untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
Tabib itu beredar dan menjelajah ke pelusuk Medinah. Puas dia mencari pesakit tetapi tidak menjumpai walau seorangpun. Terbuktilah kepadanya kebenaran kata-kata Nabi itu.
Didorong oleh perasaan ingintahu dan kekagumannya, tabib itu sekali lagi berjumpa Nabi saw. lalu berkata, "Benar seperti kata-kata baginda. Apakah petua sehingga semua penduduk Medinah sihat-sihat belaka?" Nabi menerangkan, "Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan jika tidak lapar. Dan jika kami makan, kami tidak makan sehingga terlalu kenyang. Itulah petua untuk kesihatan. Yakinilah makanan yang halal dan baik. Makanlah untuk bertaqwa kepada Allah bukan sekadar memuaskan hawa nafsu."

MORAL & IKTIBAR
•Petua untuk sihat: Makan ketika lapar. Berhenti sebelum kenyang

•Agama Islam suatu agama yang syumul; ia mencakupi bidang jasmani dan rohani

•Semua kata-kata Nabi adalah BENAR belaka; tidak boleh mempertikannya.

•Berpegang kepada ajaran Nabi membawa keselamatan bukan saja di akhirat malahan di dunia juga.

•Bertawakkal kepada Allah menjauhkan diri dari menyerahkan nasib kepada selain Allah

•Menyendatkan perut dengan pelbagai makanan yang banyak menyebabkan kesihatan terganggu dan mengurangkan kecerdasan otak dan jiwa.

•Sebaliknya mengosongkan perut dengan amalan puasa boleh melahirkan ketajaman otak dan kejernihan jiwa.

•Para Nabi dan orang-orang soleh memilih lapar di dunia supaya kenyang di akhirat.

Wednesday, February 18, 2009

ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG

Pada suatu hari, seekor anjing yang kelaparan merayau-rayau di sebuah lorong untuk mencari makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang didalam sebuah tong sampah. Anjing itu terus menggonggong tulang itu dan berlari menuju ke rumahnya. Dalam perjalanan anjing itu melalui sebuah jambatan di atas sebatang anak sungai. Sambil meniti jambatan, anjing itu terpandang bayang-bayangnya di permukaan sungai. Ia menyangka ada seekor anjing lain dengan seketul tulang. Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Anjing itu ingin mendapatkan 'tulang' daripada 'anjing' itu. Tanpa berfikir panjang, ia pun menyalak. Sebaik saja ia membuka mulutnya untuk menyalak, tulang yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai. Anjing itu menyesal kerana tulang yang dijumpainya tadi terjatuh ke dalam sungai disebabkan sifat tamaknya.

MORAL & IKTIBAR
•Sifat tamak adalah sifat mazmumah yang dicela Allah
•Orang yang telah dikuasai sifat tamak selalunya akan menghalalkan apa cara saja asalkan apa yang dikehendakinya itu boleh diperolehinya; tanpa mengambil kira halal atau haram.
•Orang yang bersifat tamak mengumpulkan harta dan wang ringgit biasanya tidak akan berhenti dari melonggokkannya selagi dia tidak diikat dengan kain kapan di kaki dan kepalanya (mati).
•Sifat zuhud (memada apa yang ada) adalah sifat terpuji yang perlu dibentuk dalam diri kita
•Orang tamak sentiasa dalam keadaan miskin walaupun sudah kaya-raya. Sebaliknya orang zuhud adalah pada hakikatnya kaya kerana mereka tidak memerlukan apa-apa lagi.
•Manusia yang tamak jika diberikan segunung emas akan berusaha untuk mendapatkan gunungan emas yang lain. Mereka akan berhenti mencari kekayaan hanya apabila dimatikan.
•Sinario yang berlaku di negara kita dewasa ini adalah contoh angkara sifat tamak manusia yang ingin mengumpulkan harta dunia untuk diri dan kroni sehingga menghalalkan nepotisma dan kronisma; malahan sanggup melakukan pembohongan terbesar serta kezaliman yang tiada tandingannya di zaman ini. Mereka menghalalkan apa jua cara, menyalahgunakan segala kuasa yang ada sehingga sanggup membutakan mata, memekakkan telinga, mempetrikan hati, menjerebukan fikiran serta berlaku ganas menahan/menyeksa orang yang dianggap sebagai penghalang kepada nafsu rakusnya. Inilah Firaun dan Qarun Zaman Multimedia Super Corridor.
•Amaran Nabi: Apabila mencecah umur 40-an tapi kejahatannya masih melebihi kebaikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk masuk ke neraka.

Tuesday, February 17, 2009

DOA SI-SEPET YANG MAKBUL

Satu ketika di zaman seorang Khalifah berlaku kegawatan ekonomi yang meruncing. Keadaan menjadi semakin gawat apabila tumbuhan tidak menjadi. Hujan sudah tidak turun selama beberapa bulan. Pemerintah mencanangkan agar semua rakyat turun ke padang untuk solat istisqa' dan berdoa agar Allah menurunkan hujan. Namun hujan tidak turun juga. Khalifah menjemput ramai ustaz, tok guru dan para abid yang berpengaruh serta mempunyai ikutan yang ramai, untuk bersama-sama berdoa kepada Allah; tetapi keadaan masih tidak berubah.
Khalifah menjadi semakin khuatir apabila kemarau kian berpanjangan. Baginda berusaha mencari orang yang mustajab doanya untuk tampil ke depan bagi mengimami solat pinta hujan. Akhirnya tampil seorang lelaki yang kelihatan selekeh dengan pakaian yang comot dan rambut yang kusut berjumpa Khalifah. "Ya khalifah! Saya datang untuk menyahut seruan tuanku." Khalifah macam tak begitu yakin melihat pemuda yang comot itu. "Benarkah kamu ini? Sedangkan ramai para ulamak dan abid yang terkenal tidak dimakbulkan Allah doanya, inikan pula kamu yang begini?". Pemuda itu menjawab, "Insyallah doa kita akan dikabulkan!".
Pemuda itu terus mengimami sembahyang bersama rakyat dan berdoa. Belum pun habis doanya, dengan tidak diduga hujan turun mencurah-curah dengan lebat. Khalifah segera bertanya, "Wahai pemuda, cuba kamu ceritakan kepada beta apa amalan kamu sehingga doamu diperkenankan Allah." Pemuda itu menceritakan "Pernah semasa muda dulu, saya begitu asyik melihat wajah seorang gadis ayu. Saya terpesona dengan kecantikannya sehingga saya terlalai dari mematuhi perintah Allah. Saya menyesal atas kejahatan saya itu dan merobek-robek muka saya hingga tanpa disedari biji mata saya terkeluar dari rongganya. Sebab itulah mata saya menjadi sepet. Saya bertaubat dari kejahatan itu dan terus mengabdikan diri kepada Allah." Khalifah mengucapkan terima kasih dan terus sujud syukur kepada Allah.


MORAL & IKTIBAR
•Allah menurunkan bala sebagai peringatan kepada hamba-hambanya atas dosa yang dilakukan.
•Kehendak Allah mengatasi segala.
•Allah menyayangi orang yang bertaubat sehingga apa saja doanya dikabulkan Allah.
•Allah sayang kepada seseorang bukan kerana rupa dan sifat lahiriahnya, tetapi kerana sifat ubudiah dan ketaqwaannya.
•Untuk mengatasi apa jua masalah yang menimpa, Allah menganjurkan kita supaya kembali kepadaNya.
•Jangan memandang orang dari sifat lahiriahnya tetapi lihat dari segi amalan dan ketaqwaanya kepada Allah.

Monday, February 16, 2009

PIALA PUNCA BALA

Dinukilkan dalam sebuah kitab, seorang raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata fairuz. Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira menerima hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya, raja itu bertanyakan kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata, "Aku tidak lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir."

Raja tercengang dan berkata, "Mengapa kamu berkata begitu?" Hukama itu menerangkan, "Kalau piala itu pecah, sudah tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati tuanku akan menjadi susah atas bala yang menimpa. Kalau dicuri orang pula, tuanku akan bersedih atas kehilangan itu dan berasa seperti seorang fakir. Bahkan sebelum tuanku dapat piala ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini, tetapi selepas ada piala ini, jika berlaku kehilangan tentu tuanku berasa amat sedih."

Selang beberapa bulan, piala yang disayangi raja itu pecah berkecai. Raja itu menjadi sangat sedih dan hampa atas kehilangan piala itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya. Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak memberi apa-apa makna di dunia kecuali kesusahan dan kemiskinan. Bahkan dirasakan amat berat untuk meninggalkan harta itu semasa roh hendak kembali berjumpa Allah.

MORAL & IKTIBAR

  • Kekayaan dan harta dunia adalah perhiasan yang tidak perlu disanjung tinggi. Kekaguman yang melampau terhadapnya mengakibatkan kesusahan dan kemiskinan jika berlaku kerosakan atau kehilangan harta tersebut.
  • Kesayangan pada harta dunia merampas kesayangan pada kenikmatan syurga mengikut nisbah yang sama.
  • Hukama memandang sesuatu benda dari segi hakikat, bukan dari segi zahirnya.
  • Tanpa harta benda pun kita boleh hidup dengan keperluan asasi. Situasi begini lebih menenteramkan hati dan jiwa untuk mengabdi diri kepada Allah.
  • Orang yang mempunyai sedikit kekayaan duniawi lebih mudah masuk syurga kerana tidak banyak soal-siasat dan hisab di mahsyar.
  • Orang yang mempunyai kekayaan duniawi terseksa di mahsyar kerana banyaknya kira-mengira tentang dari mana ia diperolehi dan ke mana pula ia dibelanjakan pada setiap satu harta yang dimilikinya. Ini melewatkan kemasukan ke syurga. Kalau dari sumber tak halal dan dibelanja bukan pada haknya, si-pemilik harta akan dimasukkan ke neraka terlebih dulu.

SEMERBAK IMAN MASYITA

Bercakap fasal iman, saban tahun kita mendengar peristiwa 'israk dan mikraj' khususnya tentang kehebatan iman Masyita, tukang sisir rambut anak Firaun.

Firaun menjadi sombong dan angkuh kerana kebesaran empayarnya dan kehebatan pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir. Dia mengaku sebagai tuhan yang agung dan memusuhi sesiapa saja yang bertuhankan selain dirinya. Malahan dia akan membunuh mereka yang tidak mengaku Firaun sebagai tuhan.

Masyita walaupun bekerja di istana Firaun, namun di dalam hati kecilnya tetap bertuhankan Allah yang Maha Berkuasa dan Dialah juga yang menjadikan segala makhluk di muka bumi ini termasuk Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kepercayaan ini dirahsiakannya supaya tidak diketahui oleh Firaun dan sekutunya.

Pada suatu hari, sedang dia menyisir rambut anak Firaun, sikat di tangannya terjatuh. Masyita terlatah dan berkata "Mampus Firaun! " Apabila anak Firaun mendengar kata-kata penghinaan terhadap bapanya, dia berkata, "Kenapa kau berkata begitu terhadap bapaku? Adakah tuhan lain selain bapaku?"

"Memang benar! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu bapaku." Masyita bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapa kau. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah Allah."

Sebaik saja Firaun diberitahu oleh anaknya tentang Masyita, dia menjadi murka dan memanggil Masyita. Dia bertanya sama ada benar apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Masyita tetap mengatakan Tuhannya ialah Allah. Firaun mengugut untuk membunuh Masyita dan keluarganya sekiranya dia tidak mengubah pendiriannya.

Keesokannya keluarga Masyita dibawa ke satu tempat lapang, berhadapan dengan sebuah kawah besar yang berisi dengan minyak yang sangat panas. Firaun hendak memasukkan kesemua keluarga Masyita termasuk anaknya yang masih kecil ke dalam minyak panas sekiranya Masyita tidak mengaku Firaun sebagai tuhan. Keimanan Masyita tidak luntur meskipun berhadapan dengan ancaman maut.

Melihatkan iman Masyita yang tidak berganjak, Firaun menyuruh askarnya mencampakkan keluarga Masyita seorang demi seorang ke dalam kawah yang besar itu. Apabila sampai giliran anaknya yang kecil, perasaan Masyita menjadi belas dan sebak. Hati siapa tidak sedih melihatkan anak yang disayangi akan dilontar ke dalam kawah yang membuak-buak dengan minyak panas. Masyita meminta supaya dia dicampakkan dulu sebagai ganti kepada anaknya. Tiba-tiba dengan kuasa Tuhan, anaknya yang kecil itu membuka mulut dan berkata, "Ibu, jangan bersedih. Teruskan! Biarkan saya dicampak ke dalam kawah itu." Masyita dan orang-orang di sekeliling terperanjat melihat seorang bayi boleh berkata-kata.

Mendengar kata-kata anaknya itu, Masyita menjadi semakin yakin dan tabah. Dia menghulurkan anaknya untuk dicampakkan ke dalam kawah. Tanpa belas kesihan askar Firaun terus melontarkan anak Masyita ke dalam minyak panas. Selepas itu barulah Masyita dibawa ke tepi kawah yang panas itu lalu dicampakkan ke dalamnya.

Demikianlah hebatnya Masyita mempertahankan kebenaran aqidah sehingga dia dan keluarganya terkorban dibunuh oleh Firaun. Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi sampai di satu tempat yang sangat harum. Malaikat Jibril menerangkan bahawa tempat itu ialah tempat bersemadinya Masyita dan keluarganya.

Awas! Mana-mana pemimpin yang bongkak dan mengaku kehebatannya sebagai pemimpin, takbur, sombong dan berlagak sebagai superman yang kuku besi, nyatalah ciri-ciri Firaun yang terkutuk itu sudah diwarisinya. Nauzubillah!


MORAL & IKTIBAR

* Orang yang mengorbankan jiwa dan raganya demi menegakkan kebenaran diberikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
* Bukan lelaki saja yang mempunyai semangat yang kental dan tinggi dalam memperjuangkan kebenaran. Golongan wanita yang dianggap kaum yang lemah juga mempunyai keberanian dengan izin Allah
* Allah menetapkan hati hamba yang mencari keredhaanNya sehingga seorang bayi mampu bercakap dalam usia yang paling muda. Anak Masyita adalah salah seorang bayi yang boleh bercakap semasa kecil lagi. Contoh lain ialah anak Siti Mariam yang menafikan ibunya melahirkan anak haram.
* Orang yang Allah tidak kehendaki keimanannya dibiarkan mereka hidup dalam kezaliman sehingga menyangka keburukan sebagai kebaikan dan kebaikan pula dipandang sebagai kejahatan.
* Manusia jangan menyangka mereka mudah saja dibalas dengan syurga selagi tidak diduga dengan pelbagai musibah dan kesusahan.
* Dunia adalah tempat bersusah-payah, manakala akhirat ialah tempat kesenangan abadi.
* Prinsip dan pegangan hidup orang tua-tua, "Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian" seharusnya dijadikan pedoman hidup bagi kita.
* Manusia yang senang kehidupannya tanpa diduga oleh Allah belum lagi diiktiraf keselamatannya di akhirat
* Kesenangan di dunia belum boleh dijadikan bukti sebagai tanda Allah menyayangi mereka. Begitu juga kesusahan di dunia bukan menjadi bukti bahawa Allah membenci mereka.
* Kesenangan di dunia bukan menjadi kayu pengukur kepada kesenangan di akhirat. Kesusahan di dunia pula bukan menjadi kayu pengukur kepada kesusahan di akhirat.

Sunday, February 15, 2009

new

rsa ny ak da create blog nih....tp tetibe ak kna wt bru.......
huhuhuhu............